Thursday, June 27, 2013

Kembara Cinta Tetamu Allah


-i-

Laibbaikallah humma labbaik!
Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah!


Sebelum melangkah mulakan muhasabah.
Buat refleksi yang telus rapi. Cermin diri. Murnikan hati nurani. Tanya diri.

Bagaimana belanja kita ke sana? 
Adakah hasil daripada keringat sendiri yang bersih suci?

Adakah daripada sumber yang 'halalan toyyibban'?
Hasil titik peluh yang paling bersih dan terbaik.

Tanpa penipuan. Tanpa penzaliman. Lillahi taala.

Kemudian muhasabah pula visi dan misi kita seikhlasnya.

Leburkan sifat-sifat mazmumah semampunya.
Lemparkan sejauhnya sikap hasad, dengki, marah, dan bakhil.

Cuci nanah-nanah hanyir dan busuk yang mengalir.
Sucikan hati di pepohonan keampunan.

Minta kemaafan daripada manusia. Lampiaskan taubat nasuha atas  segala dosa.
Barulah terlerai ikatan yang merantai hati. 
Ringan kaki untuk melangkah pergi.

Pakailah ihram di tubuh yang lusuh. Serah diri seluruh.
Pangkat, darjat, gelaran, dan bintang biarkan meluruh.

Kita kini hanyalah seorang hamba yang benar-benar hina di hadapan-Nya.
Mengharapkan rahmat daripada al-Khaliq Yang Agung dan Perkasa.

Datanglah bagaikan seorang hamba tawanan. 
Yang melutut gentar menanti hukuman.

Labbaikallah humma labbaik!
Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah!

Dengan rohani yang suci murni. Di cermin mata hati yang sendu meratapi.
Katakan bahawa kau tiada punya apa-apa.
Harta dan keluarga. Nyawa dan jiwa raga semua milik-Mu jua!

Kami datang, wahai Tuhan. Kami datang menyahut panggilan-Mu.
Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Tuhan yang memiliki segala pujian.
Tuhan yang mewariskan segala nikmat dan kuasa pemerintahan.

Tuluskan niat hati ketika memulakan umrah ini, ibadah ini.
Bukan untuk ihsan manusia, Juga bukan lanjutan urus niaga.
Pun bukan kerana riak dan bangga.
Tapi kerana benar-benar kau seorang hamba.
Yang mengharapkan rahmat dan redha-Nya.


-ii-

Niat suci perisai hati,
Menangkis kelalaian sepanjang destinasi.
Ikhlas itu sangat maknawi, Namun kesannya zahir pada diri.

Ikhlas melahirkan sabar.
 Sabar kita dengan kaerenah insan. Sabar juga dengan pelbagai cubaan.

Ikhlas juga melahirkan syukur.
Semuanya mengharapkan  rahmat Tuhan. Demi mengharapkan keampunan.

Nun di sana kelibat Kaabah mula menyapa.
Rindu tiba-tiba datang menerpa. Kian lama kian membara.

Hati menjadi hiba tanpa dipinta. Tanpa disedari berjuraian air mata. 

Oh! Di situ pernah melutut Ibrahim.
Di persada mulia itu juga pernah sujud Ismail.

Di situ juga pernah menangis Muhammad, Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali.

Bagaikan melihat 'wajah' Allah. Di kehitaman warnaya terpancarnya nur kesucian.
Menerobos hati, jiwa dan perasaan.
Terkaku menginsafi keagungan Tuhan.


-iii-

Langkah kian cepat. kian mendekat.
Tawaf, Tawaf, tawaf.
Tujuh pusingan Baitullah.

Tiga yang ertama bagaikan lari daripada dosa menuju pahala.
Empat yang berikutnya keolah-olah terlepas daripada kesalahan menuju pengampunan.

Bismillahi. Allahu akbar. Walillahilhamd.

Lambaian istilam tanda kerinduan. Jejari dikucup tanda kecintaan dan kepasrahan.

Ya Allah, Rabbul Izzati!
Cintaku hanya pada-Mu.
Meski cinta itu sering terganggu.

Kau bawa hati yang lara ke Safa dan Marwah,
Sa'i ke sini dan ke sana bagaikan seorang sandera yang tercedera.
Cemas bila dirasuk azab. tenang seketika dibujuk harap.
Ke sana khauf, ke sini raja'.

Bimbang tenang berulang datang, Saling bertindan bagaikan gelombang berhempasan ke tepian.
Ya Allah! Ya rahman! Ya rahim!
Siapakah diri ini pada pandangan-Mu?

Kepala kau cukur. Helaian rambut pun gugur.
Luruh bersama simbolik dirimu yang lalu. 
Kini bangun dirimu yang baru.

Bukan sekadar membuang helaian rambut, tetapi menungkai fikiran yang berserabut.
Bukan sekadar membersih kepala, tetapi hakikatnya membersih minda.
Itulah rahsia tahallul.
Meninggalkan diri yang kotor. Hijrah ke dunia baru yang luhur.


-iv-

Di Madinah, Di Masjid Nabawi.
Hatimu tersentuh oleh laungan azannya.

Terbayang sejarah anak yatim yang kesepian. 
Terbayang gembala kecil di padang pasir.

Luka kakinya di Thaif. Hilang kesayangannya di Badar.
Gugur giginya di Uhud.

Atap rumahnya dicecah jari. Alas tidurnya berbekas di badan.

Sujudlah. Bertelekulah di situ. 
Tunduk malu di Makam Nabi.

Di sana tersemadi jasadnya yang mulia. Rasul yang tidak pernah jemu berkorban.
Demi umatnya. Tegar baginda pada semua derita.

Hayatilah betapa malunya Rasul di Masjid Qiblatain.
Ingin merayu lidahnya kelu.

Qiblat itu hak mutlak Tuhan. Tidak layak dirinya menempelak pertukaran.
Namun Tuhan Maha Mengetahui resah di hati kekasih-Nya itu.
Lalu beralihlah kiblat daripada Masjid Aqsa di Palestin ke Baitullah di Makkah.
Rintihan sanubari Rasulullah terjawab sudah.


-v-

Di Badar kau diajar bertawakal.
Betapa golongan yang sedikit mengalahkan golongan yang ramai.

Tetapi apabila disiplin robek lantaran tamak haloba dan godaan harta.
Uhud mengingatkan kita pada sebuah alpa.
Pada sebuah amanah yang dinoda.

Pada batu-batu yang terdampar di Makam Syuhada'.
Pada batu-batu di Perkuburan Baqi'.

Terimbau deretan sahabat dan syuhada'.
Bagaikan bintang-bintang yang bertaburan di langit.

Terlalu banyak hikmah yang tersimpan dalam kembara ini.
Jika segalanya dilihat dengan tusukan mata hati.

Jiwa akan kukuh disepuh iman. Fikrah akan bersih disuluh hidayah.
Fizikal akan perkasa disimpai derita dan tawakal.
Umrah bagaikan kolek rohani yang diulit rahmah Ilahi.

Padanya tersimpan rahsia kekuatan.
Kan terserlah hanya dengan keikhlasan.

Inilah hakikat perjalanan seorang insan.
Datangnya daripada Allah. Kepada-Nya jualah kita akan dikembalikan.

APAKAH DENGAN KEMENANGAN ATAUPUN KECELAKAAN?



-Perkongsian hebat dari Umrah Super A-










2 comments:

Cetul^ La La said...

SALAM,,TELEKUNG YANG U JUAL ADA LAGI TAK?

umi~wannza said...

Telekung Mia Mikhail xde dear, skrg ni jual telekung Miya Zara, material lycra, stretchable di muka & pinggang mcm MMC juga...