Saturday, November 12, 2011

sepucuk surat rindu untuk-Mu

“Bismillahirrohmaanir rohiim. Tiada Tuhan selain Dia. Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Puji-pujian juga buat junjungan dan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Segala kebaikan datang daripada-Mu, Ya Allah, dan yang buruk daripada diriku jua.

“Tuhan Ya Rahman, bersyukur aku pada saat ini atas limpah kurnia rezeki yang engkau pinjamkan pada diriku, Ya Allah. Aku sujud mengadap kiblat-Mu dengan rasa rendah diri bersama saudaraku yang lain berkiblatkan rumah-Mu.

Pinjaman kesenangan harta-Mu padaku tiada lain selain menguji diriku juga. Limpahan rezeki yang Kau beri bukan sedikit untuk mengujiku. Ya Allah, pimpinlah diriku supaya pinjaman harta dunia ini dapat aku belanja ke jalan-Mu.

“Membantu ahli keluargaku, sahabatku, saudara seagama ku, anak yatim, pejuang agama dan bangsaku. Aku berdoa kepada-Mu, Ya Allah Ya Rahim, supaya kebendaan yang kau pinjamkan tidak menutup mataku, telingaku dan mindaku. Ringankanlah tangan ini untuk menolong umat-Mu yang Kau uji dengan kesusahan dan kesulitan.

“Dengan rezeki yang Kau pinjamkan juga aku berdoa supaya menjadikan aku lebih kecil dan sedar diri bahawa rezeki pinjaman-Mu adalah untuk dikejar, bukan menanti ia bergolek.
“Rezeki pinjaman-Mu juga menjadi bekalan untuk aku mengejar ilmu akhirat dan beribadah ke jalan-Mu. Jadikan aku sentiasa sedar apa yang Kau beri juga boleh Kau ambil semula.

“Tuhan Ya Latif, pada hari istimewa ini, aku sujud pada-Mu meminta supaya aku dijemput lagi ke rumah-Mu seperti yang pernah kau pinjamkan kenikmatan berada di sana sebelum ini. Pinjamkanlah harta dan ruang masa-Mu untukku berkunjung ke sana lagi. Aku sangat rindu untuk melihat lagi kebesaran rumah-Mu.

“Rindu pada bau kasturi Hajarul Aswad dan masjid-Mu. Rindu pada ketenangan di luar ruang litup duniawi. Rindu pada keajaiban yang Engkau pancarkan secara sedar atau di bawah sedar. Rindu menjejaki asal usul agamaku. Rindu pada pertemuan saudara seagamaku. Rindu untuk berdekatan dengan makam Nabiku dan sahabatnya.

“Ya Tuhan, lindungilah saudaraku yang kini berada di bumi suci Tanah Haram Makkah dan Madinah untuk melunaskan ibadah tuntutan seperti mana Kau jaga diriku dulu. Sempurnakan perjalanan mereka yang meninggalkan keluarga dengan habuan ibadah yang mabrur.

“Yang utama juga, Kau berilah kesenangan pada saudaraku yang masih belum berkesempatan ke sana untuk merasai keindahan yang pernah Kau pinjamkan padaku dan seperti yang aku khabarkan.

“Tuhan Ya Qayyum, pada hari pertemuan umat-Mu di Arafah dan Mina, aku memohon Kau rapatkan saf saudara Islam sedunia supaya berbaik-baik dan bantu-membantu. Tingkatkan pertemuan pemimpin Islam supaya bersatu menegakkan agama dan jangan tunduk pada asakan serta himpitan umat yang mengingkari-Mu.

“Jadikan pemimpin kami pemimpin yang berjuang ke arah tuntutan-Mu dan tidak berpecah belah yang akhirnya menghancurkan negara di mana kami tumpang berpayung. Janganlah tumbang payung kami berteduh kerana ini merugikan kami. Bebaskan kami daripada penindasan dan penganiayaan. Hidup kami hanya sementara dan bumi ini hanya pinjaman.

“Tuhan Ya Malik. Aku bersyukur pada hari ini Kau masih meminjamkan akal yang tajam untukku berfikir. Untukku mematahkan ujian serangan musuhku. Untuk merancang kehidupan yang juga sementara ini. Untuk mengingat kalimah-Mu. Untuk diperah demi kebaikan agama dan bangsa.

“Aku berdoa supaya Kau tidak menguji fikiran dan otakku dengan cubaan yang boleh menyesatkanku daripada agamaku dan daripada jalan-Mu yang diwariskan oleh Rasulullah Muhammad SAW.

“Jangan Kau sempitkan fikiran ini kerana aku masih bertanggungjawab atas keluargaku, keturunanku dan agamaku. Hendaknya dengan fikiran dan otak yang Kau pinjamkan juga, aku dapat memandu anggota tubuhku untuk tujuan kebaikan. Lidah mengungkap bicara yang menyenangkan. Mata memilih pandang yang diizinkan. Mulut merasai hebat rezeki yang dihalalkan. Telinga mendengar kebaikan dan menutup keburukan. Kaki mengelak langkah yang memudaratkan dan tangan terus diangkat ke hadrat-Mu untuk bersyukur dan berdoa.

“Berikan lagi kekuatan otakku agar boleh memilih yang mana keburukan dan yang mana kebaikan. Yang mana musuh dan yang mana kawan. Yang mana halal dan yang mana haram. Yang mana hak, yang mana bathil.

“Tuhan Ya Ghaffar, aku bersyukur pada hari ini Kau masih meminjamkan kasih sayang yang datang daripada saudara kandung dan keluargaku, anakku, sahabatku. Aku berdoa Kau terus mewaraskan tindakanku untuk menjaga mereka dan membantu mereka.

“Waraskan juga tindakan mereka untuk sentiasa berada di sisiku di kala susah dan senang. Janganlah Kau tarik keindahan berkawan dan berkeluarga ini dan diganti dengan permusuhan dan berpecah belah.

“Aku tidak mampu berdiri bersendirian, Ya Tuhan. Aku memerlukan mereka dan jika ada kebaikan untukku, Kau bukakan tangan ini untuk ku kongsi bersama mereka. Aku sayangkan mereka tapi aku lebih menyayangi-Mu.

“Jika kau ingin mengambilku semula, biarlah ketika mereka tenang menerimanya. Biarlah ketika mereka rela melepaskanku. Lebih ramai menyayangiku, lebih banyak doa dapatku himpunkan nanti. Ya Tuhan sekelian alam.

“Tuhan Ya Muqtaqdir, pada hari kehebatan ini juga, aku merayu Kau meminjamkan kuasa Maha Besar-Mu melindungi aku dan saudaraku selain daripada apa yang zahir di depanku. Aku sangat lemah untuk melihat apa yang mendatang, yang tersirat, yang tersorok dan yang gelap.

“Kemampuanku juga tidak seperti mukjizat yang Kau pinjamkan pada Nabi pemimpin kami. Tutuplah kelemahanku dan aibku kerana aku insan lemah yang kadangkala tersasar perlakuan serta kembalikan aku ke jalan-Mu.

“Peliharalah aku dan saudaraku daripada kata fitnah yang membinasakan, ilmu hitam yang Kau laknati, gangguan syaitan yang menyesatkan, penyakit yang memudaratkan dan kemalangan yang mengerikan. Dengan kehebatan Mu pada ketika Istikharah saja dapat membimbing aku meniti dunia penuh kekaburan.

“Tuhan Ya Mu’id, pada mu saja tempat aku panjatkan doa ini supaya Kau limpahkan kasih sayang-Mu buat mak dan wanku. Peliharalah wan yang lebih awal berada di sana dan mak yang kini uzur tua. Setelah Kau pinjamkan mereka untuk melahirkan dan membesarkan kami, aku pohon supaya tiada balasan lain bagi mereka berdua selain Firdausi syurga-Mu.

“Pinjamkan aku dan kami bersaudara kudrat, kesihatan dan kemampuan untuk menjaga ibu kami supaya perjalanannya ke akhir garisan di dunia pinjaman-Mu tenang dan bermakna. Kalau betul syurga di telapak kaki ibu, aku berdoa Kau letakkan ibu kami di syurga itu menanti kami di dunia abadi selepas ini.

“Kabulkanlah doa insan kerdil yang Engkau pinjamkan nyawa sejak 43 tahun yang lalu ini dan terus merasa kekerdilannya, malah merasa kebesaran Mu. Amin Ya Rabbal’alamin.”

 Wassalam.

No comments: