Tuesday, October 13, 2009

Tip mengenal diri


Salah satu cara untuk memberi keyakinan kepada diri ialah menghormati diri kita dan menganggap bahawa diri kita adalah penting.




PENGGAL persekolahan masih berlangsung dan seperti biasa, pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada akhir tahun ini akan berusaha memantapkan diri mereka untuk menghadapi peperiksaan.

Terdapat sebilangan pelajar yang merasa begitu gembira kerana pada penghujung tahun ini mereka akan menamatkan pengajian, seterusnya akan melangkah ke tahap yang lebih tinggi.

Tetapi, tidak kurang juga yang kurang yakin kepada diri sendiri untuk menghadapi segala cabaran.

Seorang ahli korporat dan pakar motivasi Barat, Ivan Burnell, dalam tulisannya bertajuk, The Power of Positive Doing memberitahu, satu cara untuk memberi keyakinan pada diri ialah menghormati diri kita dan menganggap bahawa diri kita adalah penting.

Sehubungan itu, kita harus mengurus diri sendiri sebaik mungkin. Bukan hanya pada aspek fizikal saja tetapi juga mental dan emosi.

Seterusnya kita harus bertanya pada diri sendiri. Siapa diri kita yang sebenar? GenK menyenaraikan pengertian mengenai 'siapa'.

S: Pengertian 'saya'

Setiap orang harus berbangga kepada diri sendiri dan bersyukur kerana dilahirkan serta dapat menikmati kehidupan di dunia. Oleh kerana manusia ialah ciptaan Allah yang terbaik, maka wajarlah kita menghormati diri sendiri dengan melakukan perkara-perkara yang boleh memberi faedah kepada diri serta keluarga.

I: Insan

Anda ialah seorang insan dan bukannya robot atau komputer yang perlu diarah untuk melakukan sesuatu tindakan. Sebagai seorang insan kita dilengkapi dengan pancaindera yang berfungsi mengikut keperluan-keperluan tertentu dengan bijak.


KITA seringkali menyalahkan orang lain dengan mengatakan mereka tidak adil pada diri kita.


A: Amalan

Sebagai seorang insan yang hidup di dunia ini, kita seharusnya mengamalkan segala ilmu. Sesuatu ilmu itu akan pudar sekiranya ia tidak diamalkan.

Sebagai contoh, setiap pagi atau petang kita amalkan latihan menyegarkan badan supaya ia sihat dan dijauhkan daripada penyakit. Oleh itu amalan ialah asas ke arah kejayaan. Tidak ada kejayaan tanpa amalan.

P: Peribadi

Setiap manusia mempunyai peribadi tersendiri. Jika kita seorang pelajar setiap tingkah laku kita haruslah bercirikan seorang pelajar sama ada di sekolah, di rumah atau di mana sahaja. Peribadi yang mulia dapat mengelakkan daripada tercetusnya masalah-masalah yang boleh menganggu ketenteraman fikiran. Fikiran yang tenteram membolehkan kita belajar dan menjalani kehidupan yang lebih sempurna


JIKA kita seorang pelajar setiap tingkah laku kita haruslah bercirikan seorang pelajar sama ada di sekolah, di rumah atau di mana sahaja.


A: Adil

Kita seringkali menyalahkan orang lain dengan mengatakan mereka tidak adil pada diri kita. Tanyalah kepada diri sendiri dahulu sama ada kita berlaku adil atau tidak?

Kita dikurniakan oleh Allah lengkap dengan anggota tubuh badan. Sejauhmana kita menggunakan segala anggota dalam melaksanakan segala tindakan dan tugas setiap hari? Ramai antara kita yang tidak yakin pada diri sendiri. Seolah-olah menolak hakikat bahawa diri kita yang dicipta oleh Allah mempunyai pelbagai potensi sama seperti orang lain.

Kepada para pelajar mulai sekarang pupuklah keyakinan yang sepenuhnya kepada diri sendiri. Anggaplah segala anggota yang ada pada tubuh badan ini sesuatu yang istimewa serta di antara yang terbaik.

Jangan biarkan perasaan dan emosi kita mengongkong serta menjadi penghalang ke arah tindakan dan hasrat kita yang murni. Anggaplah bahawa apa sahaja yang dapat dilakukan oleh orang lain, kita juga dapat melakukannya.

Sumber: http://tippeperiksaan.webs.com/renungan.htm

u/p: harap anakanda baca ni,plz...

          ~umi~

No comments: