Kehidupan Beramal
Kehidupan kita dalam dunia ini ialah
kehidupan beramal atau bekerja,
kehidupan berjuang dan berlawan-lawan
seperti dalam perlumbaan. Tiap-tiap seorang
hendaklah menjalankan bahagiannya
sendiri dengan tidak bergantung kepada orang akan menjalankannya,
tidak berharap kepada pertolongan orang akan menyempurnakannya.
Ia sendiri mestilah merasa bertanggungjawab
bagi menyempurnakan kewajipan dirinya dan tanggungan dirinya
dalam perjuagan dan perlumbaan itu.
Maka yang akan menang dalam perlumbaan itu hanyalah
orang yang tetap, tekun dan sabar
menjalankan kerja-kerja kewajipannya
dengan ikhtiar dan daya upaya dirinya sendiri,
dan memohon pertolongan hanya kepada Allah sahaja.
(pendita Za'ba)
Makna Kehidupan Dunia
Daripada Abdullah bin 'Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda,
"Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang bahkan seolah-olah orang
yang dalam musafir"
Dan semenjak itu Ibnu 'Umar selalu berkata,
"Apabila engkau berada pada waktu petang, maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi,
dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau
tunggu datangnya waktu petang;
dan ambillah peluang daripada kesihatannya itu membuat amal untuk masa sakitmu,
dan peluang hidupmu berbekal untuk matimu."
(bukhari)
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w mengingatkan supaya tiap-tiap
seorang jangan menumpukan amal usahanya untuk kepentingan hidupnya
di dunia semata-mata kerana yang demikian akan merugikannya,
dan jangan pula ia memandang dunia ini sebagai tempat tinggalnya selama-lamanya kerana yang
demikian menyalahi hakikat wujudnya yang akan berahir apabila ajalnya yang telah
ditentukan, hendaklah ia memandang ke tempat yang hendak
ditujuinya iaitu tempat tinggal tetap
~alam akhirat.
Sebenarnya dunia ini tempat tinggal sementara bagi orang datang
dan biasanya orang yang demikian tidak terikat kepada negeri yang
ditumpanginya tetapi sentiasa ingat hendak balik ke negaranya.
Oleh itu ia tidak akan resah gelisah kiranya ia tidak dilayani atau ditimpa
oleh sesuatu keadaan yang menyinggung perasaannya, juga ia
tidak mahu merebut sesuatu kelebihan atau kemewahan yang ada di negeri itu.
(Kecemerlangan Pentadbiran: Dasar dan Amalan Dalam Islam, INTAN, 1990: 18))