aku masih di sini
mendekap hampa di hati
yang hingga kini menghantui
tentang erti hidup ini.
waktu terus berputar
tanpa bisa menawar
manisnya segala sanjung puji
menjadi pahit caci maki.
segala yang terjadi dalam hidup ini
adalah sebuah misteri Ilahi
perihnya cubaan
hanya ujian kehidupan.
lelah kaki melangkah
tersesat tiada arah
suara hati semakin lemah
terkikis oleh amarah.
sesaat aku tersentak
ingin rasanya berteriak
masihkah ada sisa cinta
untuk jiwa yang terlonta.
Hari ini genaplah dua tahun kami menjadi penghuni kotaraya. walaupun sekadar di pinggiran, namun bahangnya masih terasa, tetap terkesima. dan kerana menyedari siapalah kami ini, negeri sendiri tetap di hati. seakan melambai memanggil pulang...
bila teringatkan segala rajuk di hati, mahu saja menghabiskan sisa-sisa hidup di sini. membilang hari-hari dengan penuh kebosanan. rasanya tak akan sampai ke mana. dan kita tidak sekuat mana tanpa sanak saudara di sisi. suara-suara merindu terus mengimbau, dalam hati tanah tumpah darah juga yang ingin disembah. sentimennya tetap ada. bernilai segala.
namun, seandainya kita terlontar jua di kota ini, apakan daya. terimalah seadanya.
Tuntutan hidup memang begitu. bersyukur kepada Yang Maha Esa setakat ini dimudahkan segala. anak-anak yang berada di sekitar kita saja, memang saling memerlukan sama bergandingan. kita tak akan merasa jauh. tidak perlu risau. mereka di hadapan mata. bukankah itu yang kita mahu? Alhamdulillah...terima kasih Allah, kerana sentiasa memberi kemudahan....sentiasa ada untuk kita.
persekitaran kita pun jauh dari kebingitan, cuma kita harus melawan kesepian. masih belum pasti lagi adakah di sini derap terakhir setelah kita berdagang musafir? ibarat kata jauh berjalan luas pandangan, pengalaman jugalah yang mengajar kita kehadapan. andainya tersilap di persimpangan, kita masih berhak diberi ruang mencari jalan pulang.
setiap hari adalah hari yang baru, yang lalu biarkan saja berlalu. kita tak berupaya untuk memuaskan hati semua orang, dan kita tidak pernah diajar untuk menceroboh privacy orang. kita hanya meneruskan hidup dengan cara kita seadanya. maafkan salah silap andai ada yang terasa. kita juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan. ada kala hatinya terusik, ada ketika hati dijentik.
lagu ari lasso itu umi tujukan untuk anak-anak umi...cintailah aku sepenuh hati. tetaplah di sini saling memilikki. selama-lamanya...
jumpa lagi.
26 April 2010.
11 tpp sk s-umi.
No comments:
Post a Comment