(panjang cerita ni, cepat-cepat!)
gining....
Kisah di hari penerimaan anugerah ibu mithali:
.... "Seterusnya....,suara pengacara majlis bergema, "Tibalah kita kepada penerima anugerah Ibu Mithali yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Beliau akan naik ke pentas bersama dengan anaknya. Dipersilakan."
Kelihatan si anak gadis itu ke pembesar suara, dia beralih pandang kpd ibunya yg hanya tunduk memerhati lantai pentas.Pelik sungguh ibu tua yg seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yg akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru yang dipakainya. Dehem suara si anak dalam pembesar suara membuat ramai yang tersentak.
"Pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan mak berada di dalam majlis yang gilang gemilang ini. Suasana menjadi sunyi. Gadis itu membuka cerita. "Sebetulnya,ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Habibah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya rasa sayalah anak yang paling malang, disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya."
"Membantu menjaga anak-anak kandungnya? Mungkin perkara itu adalah perkara biasa bagi anda. Persoalannya akan terjawab sebentar lagi, apabila saya mempertontonkan video yang memaparkan kehidupan anak-anak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat dan guru. Sepertimana anak-anak ibu mithali yag baru merima anugerah sebentar tadi."
Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran, "Inilah dia abang-abang dan kakak-kakak saya!" Suara hadirin semakin kedengaran. "Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, abang Long, Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah kak ngah." Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah abang alang, yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah kak anjang, yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu ialah abang andak."
"Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abang-abang dan kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau dua tahun."
Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton kembali video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya. "Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya , telah menjangkau usia 20-an dan 30-an."
"Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan pakai mereka. Semasa saya berumur enam atau tujuh tahun, saya sering mencemburui abang dan kakak kerana mereka mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri."
"Zahrah dah besar, kan? Zahrah dah boleh uruskan diri sendiri, kan?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya. "Tapi mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segala-galanya untuk abang-abang dan kakak-kakak. Kalau untuk Zahrah, mak selalu berkira!."
"Zahrah, abang-abang dan kakak-kakak Zahrah tidak secerdas Zahrah. Mereka cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka."
"Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata pada mak. "Semua anggota anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!."
"Zahrah... Zahra belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya. Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya.
Mak pun cuma sekali sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itupun saya tidak pernah ikhlas menolong. Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suapkan itu tumpah atau jika abang-abang kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka."
"Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Pada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya."
"Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berumur sepuluh tahun. "Lepas itu mak dan ayah boleh hidup senang lenang macam mak dan ayah orang lain. Zahrah pun takkan rasa terganggu lagi."
"Mereka anak-anak mak, Zahrah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu. "Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak. Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang saya rentangkan di hadapannya."
"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya. Semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang dan kakak-kakak di rumah. Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang dan kakak-kakak makan dan menukar kain lampin mereka."
Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu, suasana dewan terus sunyi.....
"Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyiksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa abang Long enggan makan. jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan kak ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air. Penat saya membersihkannya."
"Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."
"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Zahrah kepada mak? Kalau ya pun ibu tak suka Zahrah, bagilah saya pada orang lain yang lebih menyayangi saya, bukan mak." "Zahrah!" Ibu merangkul saya. "Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Zahrah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Zahrah." "Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidup apabila situasi itu berlaku."
"Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal, justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami."
"Ibu telah merasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Zahrah. Lagipun dengan menyerahkan Zahrah kepada mak, ibu masih dapat melihat Zahrah membesar di hadapan mata ibu, walaupun sayang tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Zahrah berbanding dengan anak-anaknya yang lain."
"Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Zahrah? Ibu tahu tak yang Zahrah tak ubah seperti hamba dirumah itu?
"Jangan besar-besarkan perkara kecil, Zahrah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Zahrah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Zahrah. Itu pun Zahrah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang dan kakak-kakak kena lempanglah."
"Mak adu semua kepada ibu, ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah. "Mak jarang-jarang mengadu keburukan Zahrah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Zahrah dan melihat bagaimana Zahrah melaksanakan suruhan mak."
"Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu." "Ibu malu, Zahrah. Ibu mengharapkan kehadiran Zahrah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak. Tetapi, ternyata kehadiran Zahrah di rumah itu menambahkan beban mak." "Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."
"Ibu rasa apa yang telah mak beri kepada Zahrah jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Zahrah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang hanya duduk di rumah. Zahrah dapat banyak pakaian cantik. Sedangkan anak-anak mak yang lain pakaian itu-itulah juga. Setiap kali Zahrah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Zahrah terima hadiah."
"Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu. Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau rasa kecewa sebab tidak mendapatpembelaan yang diharap-harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru. Sesampainya saya di rumah tempat saya berteduh selama ini, saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik saya terus resah gelisah." "Zahrah," panggilan lembut mak seiring dengan ketukan di pintu bilik saya "Zahrah."
"Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejamkan mata, pura-pura tidur. Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Zahrah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Zahrah letih menjaga abang-abang dan kakak-kakak semasa mak ke klinik siang tadi. Maafkan mak sayang. Mak tahu Zahrah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi keadaan benar-benar terdesak pagi tadi, Zahrah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Zahrah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang-abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah."
"Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-ngusap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu. "Zahrah, mak tahu Zahrah tak bahagia tinggal bersama-sama mak." Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya. "Walau apa pun tanggapan Zahrah kepada mak, bagi mak, Zahrah adalah segala-galanya. Zahrah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Zahrah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Zahrah telah....."
"Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis. Peristiwa pada hari itu dan malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mila merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak-kakak dan abang-abang serta belajar menghormati mereka dan menyayangi mereka."
"Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut. "Kenapa Zahrah menolak tawaran itu?" Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Zahrah boleh belajar dengan sempurna?" Betul tu, Zahrah. Di sana nanti Zahrah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak!" "Zahrah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?" Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya. "Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.
"Zahrah ingin terus tinggal di rumah ini. Zahrah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak." "Tapi bolehkah Zahrah buat ulangkaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya. "Insyaallah, mak. Zahrah rasa, Zahrah dapat mengekalkan prestasi Zahrah semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin. Mka dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.
Selama di sekolah menengah , mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerja-kerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa."
*teeet...aik! semua dah tido ker?
haha...umi pun dah ngantuk ni, kita sambung esok, yea sayang..nite....
ZzzzzzzzzzzzZzzzzzzzzzzZzzzzzzzzzzzzzzzZZZZZzzzzzzzzzzzzzZzzzzzzzzzzzZZZZzzzzzz!!
Selamat pagi, sayang!
Oke...kita SAMBUNG CERITA, skit jer lagi....
Gadis yang bernama Nurzahrah itu terus bercerita dengan penuh semangat, beliau terpaksa meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajarannya ke menara gading. Kini telah menjadi guru pendidikan khas di kampungnya sendiri. Baginya segulung ijazah tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara yang telah mak kutip sepanjang hayatnya. Sekarang dia lebih ikhlas dan bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak.
Pun begitu, hatinya sering tersentuh apabila beberapa kali terdengar perbualan mak dan ayah. "Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?" Suara mak diamuk pilu. Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, entahlah. Takkan kita nak harapkan Zahrah pula?" "Zahrah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya."
"Zahrah nak tegaskan di sini, mak, yang Zahrah akan membela nasib abang-abang dan kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara kandung Zahrah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Zahrah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Zahrah dan mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang memandikan Zahrah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."
Kelihatan gadis yang berbaju kurung biru itu tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Lalu menyambung bicara. "Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah ibu mithali dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak-anak mak bukan terdiri daripada orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak-anak ibu mithali yang lain. Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain.
Betapa keimanan mak tidak pernah tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah menyalahkan antara mak dan ayah. Maafkan Zahrah sekali lagi, mak. Hingga ke saay-saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenagi tindakan Zahrah mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan dirinya terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mendengar pengkisahan Ibu Mithali pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak mak adalah amanat Tuhan."
Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang comel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan mental. Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah ibu mithali tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu yang senasib dengan mak. Sekian, Assalamualaikum warahmatullah."
Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Nurzahrah membantu emaknya bangun. Kemudian, dia memimpin emaknya melangkah ke arah kenamaan untuk menerima anugerah. Lutut maknya menggeletar. Namun, begitu kerana tidak berdaya menahan perasaannya dia terduduk kembali di atas kerusi. Melihatkan itu, kenamaan yang akan menyampaikan anugerah tersebut sendiri mendapatkan emaknya, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan.
Air mata Ibu Mithali ini berladung. Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seroang demi seorang penerima anugerah Ibu Mithali sebelumnya naik ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan ibu berjiwa kerikil ini. Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah Ibu Mithali yang terakhir itu. Sesungguhnya Allah tidak akan menguji hamba-Nya kecuali sesuatu yang mampu dihadapinya.
-TAMMAT-
Demikianlah sebuah cerita yang penuh dramatik yang kadang-kadang kita terlepas pandang dek kerana kehidupan kita yang sempurna.
Oke...bagaimana dengan cerita ini? Apa kata kalau kita sama-sama cari nilai-nilai murni yang terkandung di dalam cerita di atas. Semoga dapat kita sama-sama mengutip pengajaran bersama...boleh tak anak-anak umi sayang...???
Oke lah anak-anak umi sayang...nanti umi cerita lagi.
Salam ingatan yang berpanjangan dari umi.
1 comment:
nak komen sikit boleh tak? :
barulah kakngah faham siapa ibu siapa mak. patutlah die tinggal dengan mak sebab ibu die sakit mase die lahirkan zahra. bagi kakngah, cerita ni best sebab dua-dua mak ni ada character sendiri. ibu, sayang kat zahra sampai jenguk sokmo routine harian. mak pula, sayang zahra sebab dah jaga dari kecil dan bangga ada anak sempurna. sangat beruntung. sedih sebenarnye cerita ni ;'( ="( terima kasih umi sebab type satu2...i love you so much..
Post a Comment