Wednesday, September 7, 2011

Cinta: Andropaus dan Menopaus




Ada apa dengan cinta?
Cinta dicipta oleh Allah untuk dua insan yang bernama lelaki dan wanita untuk beribadah kepadanya. Selagi cinta berlandaskan dan bermatlamatkan ibadah, yakni selaras dengan tujuan ia diciptakan, maka selagi itu cinta itu akan selamat dan bahagia.


Apa yang dimaksudkan dengan Andropaus dan Menopaus?
Ia adalah satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu ini hormon testosteron akan berkurangan seiring berlakunya beberapa perubahan yang "mengejutkan". Sesungguhnya masih ramai yang belum memahami situasi ini. Walaupun saya belum melalui saat getir ini, namun seringkali menjadi pendengar yang setia berbagai pengalaman rakan-rakan yang lebih matang dari saya. Terpanggil pula untuk berkongsi tentang apa yang telah saya baca ini untuk dijadikan sebagai rujukan...[tak salah...kan!]


Lelaki Andropaus

Kaum lelaki akan mengalami fasa andropaus yang mengakibatkan kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan emosi seperti cepat marah, cepat merajuk, mudah rasa tertekan dan mood yang berubah-ubah. Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya.


Manakala secara interpersonal dia mula berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam keadaan tenaga dan upaya yang semakin menyusut.


Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan tentang pilihan-pilihan yang telah dan pernah dibuatnya dalam hidup. Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai pada satu tahap, dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya. Dan paling menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalin hubungan baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini "pijak semut pun tak mati" akan berlaku curang!



Wanita Menopaus


Bagi kaum wanita pula, mereka akan mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada kebaikan, mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri. Fokusnya lebih kepada keakuannya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan objektif sendiri dan pelbagai lagi yang "sendiri". Pada waktu itu ada wanita yang mengejar kembali atau "qada" semula apa yang tidak dapat dicapainya semasa muda.


Walau apapun krisis yang melanda diri suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan umur. Islam adalah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam fitrah kehidupan berumah tangga. Selagi berpegang kepada aqidah, syariat dan akhlak islamiah, lelaki andropaus dan wanita menopaus akan dapat mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.


Suami andropaus dan isteri menopaus hakikatnya diuji dengan keegoan (ketakburan). Sama-sama ego, cuma selalunya ego lelaki lebih terserlah, manakala ego wanita lebih tersembunyi. Ego itulah yang menyebabkan suami merasakan dirinya lebih baik, gagah dan berupaya sehingga mula menjalinkan hubungan dengan wanita lain.


Ego itulah yang menyebabkan isteri mula berasa kuat dan mampu melalui kehidupan tanpa bersandar lagi kepada pandangan dan pimpinan suami. Dan ego itulah juga yang menyebabkan kedua-duanya melakukan aktiviti atau tindakan yang bertentangan dengan syariat.


Memang pada awal rumah tangga dibina segalanya akan nampak indah. Ini kerana segala-galanya terbina di atas fitrah...Maksudnya semua manusia secara fitrahnya [instinct] inginkan cinta. Seorang lelaki inginkan kasih sayang seorang isteri dan begitulah sebaliknya. Tetapi cinta yang berasaskan fitrah sahaja tidak cukup untuk mempertahankan keharmonian dalam sebuah rumah tangga.


Fitrah perlukan syariat. Syariat itu ialah peraturan Allah. Melaksanakan syariat itulah ibadah. Syariatlah yang mengatur, menyubur dan mengawal fitrah. Allah yang mengurniakan cinta dan Allah jualah yang menurunkan syariat untuk mengawal dan menyuburkannya. Jika tidak, cinta akan tandus, kasih akan pupus. Samada dalam diri lelaki andropaus mahupun wanita menopaus.


Ingatlah bahawa cinta itu adalah soal rasa. Ia tidak terbina oleh urat, daging atau tulang. Tetapi ia rasa yang terbina dalam hati. Di daerah rasa ini, tidak ada tua atau muda. Di daerah rasa ini, tidak ada permulaan, pertengahan atau pengakhiran.


Di dalam hati yang beriman, tetap ada cinta. Cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua...justeru cinta itulah yang membentuk hati yang sejahtera, bekal kita ke alam syurga!




KEUTAMAAN CINTA KERANA ALLAH


"Daripada Abu Muslim al-Khaulani daripada Mu'az bin Jabal r.a.,ia berkata:
"Aku mendengar Rasulullah s.a.w meenceritakan daripada Tuhannya dengan sabdanya: 
'Orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naugan Arasy pada hari yang tiada naugan kecuali nauganNya'.

Abu Muslim menyambung: "Kemudian aku keluar hingga bertemu Ubaidah bin al-samit, lalu aku menyebutkan kepadanya hadis Mu'az bin Jabal, maka ia menyatakan:

"Aku mendengar Rasulullah s.a.w. menceritakan daripada Tuhannya berfirman:
"Cinta-ku berhak untuk orang yang bercinta kerana-ku,  cinta-ku berhak untuk orang yang saling tolong menolong kerana-ku dan cinta-ku berhak untuk orang yang saling berkunjung kerana-ku." 
Orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya. ""
(Riwayat Ahmad)


cinta : umi : ^_^

No comments: