Saturday, June 5, 2010

Seorang suami dan bapa...



SEPANJANG BULAN JUN INI:
~SELAMAT HARI BAPA~

ke mana pun pergi, Al Quran dan buku x dapat dipisahkan.
jadi peneman.



Suamiku...

Terima kasih yang tiada penghujungnya kerana tanpa kehadiran seorang bapa tiada lengkap sebuah rumah tangga yang bahagia. Terima kasih sangat-sangat kerana memberiku kepercayaan menguruskan segala. Tak akan aku mengkhianatinya.  Kau sentiasa ada di sisi bila ku memerlukannya, menenangkan segala gundahku tatkala ombak dan badai melanda. Biasalah jiwaku memang rapuh tapi kadangkala keras setegar karang. Hati seorang wanita sememangnya begitu. Maafkanlah segala salah silapku.

Suamiku tercinta...

Hadirmu amat bermakna, ketika jatuh dan bangunku, saat ku bergenang airmata menangani segala laku anak-anak kita, kau memberi cahaya. Segala susah payah itu memberi pengalaman berharga untuk mendepani mara bahaya, aku lemah tanpa sokonganmu, suamiku. Meskipun aku bergelut dengan segala bahaya, doamu tak pernah lekang mendampingiku. Terkadang onak dan duri kuredah sendiri dan kupendamkan saja demi anak-anak tercinta. Maafkan aku suamiku. Aku tahu, andai kau tahu...kau cepat melatah, memarahi anak-anak kita yang kadang kala nakal juga. Aku terpaksa demi kesihatanmu jua. Aku sayang mereka, ku melindungi dan membela segala lakunya. Aku tak sanggup melihat anakku dimarahi olehmu walau ku tahu sikap begitu membawa padah untuk diriku sendiri juga akhirnya. 

Tapi apakan daya, masa bisa merubah segala. Mereka kian membesar, sehingga kadangkala lupa siapa aku di sisi mereka. Aku yang selama ini membesarkan mereka dengan penuh kasih yang tidak terhingga. Sanggup memberi segala mahunya tanpa memikirkan  keperluan sendiri. Tapi mengapa ada saja insan-insan rakus menuding jari, menuduhku tak pandai mengasuh dan mendidik anak. Sedih sangat. Aku rasa kau lebih arif dan mengenali seorang aku. Sehingga sanggup kau bergalang gantikan nyawa, suamiku! itupun setelah ku terdengar nasihatmu kepada anak-anak kita tanpa kusengaja. Di kalangan teman-temanmu, mereka pun selalu mengilingkan kepala tak percaya bila aku ke tempat anak-anak kita yang ketika itu belajar di terengganu-kuantan-penang dan terkini di perak pula. Mereka tinggal di asrama, akulah yang menanganinya. Mereka tidak percaya seorang wanita sepertiku sanggup membawa kereta seorang diri ke semua tempat itu dan balik hari tanpa mengira masa. Aku berbuat begitupun atas keizinanmu, terima kasih kerana membenarkan aku memanjakan anakku.. Aku tak kesah semua itu, semuanya kerana tanggungjawab dan kerana Allah taala. Tak pernah kubiarkan anak-anakku terkapai-kapai sendirian walau dalam apa jua keadaan. Entahlah kalau anakku menidakkannya. Aku tak minta dikenang kerana jika tersilap langkah dikatakan aku mengungkit pula. Aku tak mahu begitu.

Katamu, abah lebih rela menderita sakit daripada melihat umi menangis bergenang airmata. Abah sentiasa berdoa agar umi sihat dan selamat, kerana abah tak mampu mengurus segala kehendakmu anak-anak semua, tapi tidak bagi umi...tiada yang tak sanggup baginya demi anak-anak. Abah sentiasa kagum dengan kesanggupan dan ketabahan umi mu anak-anakku. Di mana saja anak-anaknya  berada di situlah umi akan sampai mengambil dan menghantar segala. Walau seorang diri, panas hujan, siang mahupun malam. Abah amat kecewa bilamana umi terluka. Airmata ibu sangat sensitif dan kesannya akan melibatkan banyak perkara. Tambah lagi semua masih lagi belajar, hormatilah ibu. Dia telah menyusukanmu dan menjaga sehingga mengenal erti hidup. Terima kasih suamiku, kerana menyedarkan mereka di kala mereka alpa.

Suamiku,

Siapalah sangat seorang ibu yang bergelar umi ini. Maafkanku kiranya aku tersilap langkah tatkala mendidik mereka. Rasanya aku telah memberi yang terbaik dari yang terbaik untuk mereka. Dulu mereka selesa bercerita segala denganku berbanding dengan bapanya. Akulah umi, akulah kawannya, tetapi setelah berganjak dewasa kehidupan luar telah mengaburi pandangan mata. Belum cukupkah bekal yang kuberi untuk menangkis semua godaan itu. Maafkan aku, suamiku...aku selama ini terlalu memanjakan mereka. Aku tahu mereka menyayangiku, tapi godaan fatamorgana mampu merubah segala impian kita. Impian untuk melihat mereka belajar dengan tenang tanpa apa-apa gangguan. Belajarlah dulu anakku, pernahkah umi menghalang kamu berkawan sebelum ini? Siapa kawanmu, itulah juga kawanku. Bukannya aku yang mahukan begitu, tapi kehendakmu juga, kerana kamu lebih selesa begitu. Rasa selamat apabila umi tahu siapa kawanmu. Umi sangat-sangat bangga dan bersyukur kerana mempunyai anak yang baik kerana itulah kehendak mana-mana ibu.Sehinggakan ada mata-mata yang cemburu melihatkan keakraban kita. Bukannya umi nak menyibuk mengambil tahu, tapi salahkah jika seorang ibu mengambil berat dan memantau anaknya?

Aku harap anak-anak kita tidak terpengaruh dengan cabaran membesar di kotaraya yang inginkan  kebebasan, masyaallah! Semoga disisihkan dari semua itu. Umi tahu abah sentiasa mendoakan kami sekeluarga.. Supaya rumahtangga kita senantiasa dilimpahi sirna cahaya kebahagiaan seperti yang kita kecapi selama ini.. 

Suamiku...

Betapa tekun dan kuatnya abah bekerja untuk menyara kami semua. Sungguhpun begitu...selalu kudengar pesanmu kepada anak-anak...Tolonglah jaga hati umi, abah tak kesah dipinggirkan. Yang pertama, ibu...kedua...ibu, dan ketiga juga masih lagi ibu... selepas itu barulah untuk abah! Aku selalu terdengar dalam mamaiku tatkala kita sekeluarga dalam perjalanan. Sambil memandu segala nasihat kau tuturkan satu persatu kepada anak-anak kita.  Aku bukan ego memiliki title seorang ibu, tapi aku lebih mengenali siapa mereka. Semua anak-anakku kususui dengan air susu dari darah dagingku...dua tahun setiap seorang, boleh tak orang lain jangan nak berlagak menghambur kata nista? Aku amat kecewa bila aku dituduh ibu yang tidak adil dan saksama. tidak pandai pula menguruskan anak dan mengambil/menjaga hati mereka, suara-suara sinis itu amat meluka. Perlukah orang sebegitu menjadi kawan anakku? Terasa hebat sangatkah memiliki aset seorang sahabat yang sanggup menghentam ibu? Orang yang sebegitukah yang akan berkongsi suka dan duka? Anakku, jangan tersilap pilih kawan...

Suamiku, jauh di sudut hati, aku juga mengagumimu, sanggup berkorban demi mencari sesuap nasi untuk seisi keluarga. Aku juga sanggup berbuat apa saja demi tidak mengganggu tugasanmu selagi terdaya. Kita saling memerlukan, saling memberi sandaran untuk hidup anak-anak kita, menyemai benih-benih cintakan agama dan keluarga. Telah kusemat dalam dada untuk mendidik mereka menjadi insan akademis yang bertaqwa dan berjaya meneruskan cita-cita sehingga berjaya. Akan aku korbankan segala semampu yang ada.

Aku sayang semuanya dan aku dapat rasa kau dan anak-anak kita pun sayang padaku. Meskipun tak pernah ditunjuk segala kasih sayang itu. Aku yang perlu tabah sebenarnya. Jika aku tiada...aku tak minta dibalas kerana itu bukan jasa tetapi semua itu kugalas sebagai satu tanggungjawab yang kuterima dari Tuhan Yang Maha Esa. Aku perlu langsaikan hingga ke hujung nyawa!

Bukan niatku mempamerkan semua, aku bukannya ibu yang hebat berbanding ibubapa mereka. Namun ku punya hati dan perasaan yang kadangkala terguris pedih bila dihina. Apapun semua itu akan kugalas jua selagi nyawa dikandung badan aku masih rela bertahan, hanya bila hatiku kecewa mahu saja aku bertukar menjadi bidadari syurga yang membahagi kasihnya kepada yang tulus dan mendapat keredaan dariNya. Aku akan berusaha supaya anak-anakku nyaman berada dipelukanku, dan aku terkesima menerima kasih dari anak-anakku yang dapat mengubat luka. Ku yakin kita adalah keluarga yang bahagia selamanya dengan izin Allah jua.

Terima kasih atas segalanya.
Gurisan rasa;
umi:6610





2 comments: