Thursday, October 7, 2010

cemas si ayah...



Dalam kesempatan mengharungi citra kehidupan, terkenang suatu ketika kebetulan cuti sekolah, kisah dalam sebuah keluarga, maka anak-anak semua berkumpul. Lalu terciptalah suasana riuh dan meriah. Terhibur juga dengan kehidupan ceria dengan kepulangan anak-anak.

Pada suatu subuh, terdengar suara si ayah mengejutkan anak-anaknya bangun, bukan mahu disuruh melakukan apa-apa pun, cuma bangun menunaikan sembahyang Subuh. Itu saja. Bangun menunaikan tanggungjawab kepada Allah yang telah dikhaskan waktunya sedari terbit fajar sadiq sampai sebelum menjengahnya sang mentari.

Beberapa kali, seruan awal tidak berjaya menguak pelupuk-pelupuk mata yang terkatup kemas. Hinggalah terdengar di telinga hamba, antara jelas dengan tidak si ayah mengeluh. Kiranya bukanlah keluhan penyesalan. Barangkali sekadar membangkitkan keinsafan, agar keinsafan itu pula membangkitkan sedikit pengertian di hati anank-anak apa yang sedang dirasai oleh sang ayah.

"Bangunlah, sembahyang. Esok (maksudnya di akhirat) teruklah ayah. Nak tanggung beban ayah sendiri, kena tanggung beban kamu lagi," keluh si ayah lemah. Terhidu nada kesayuan pada pengucapannya itu.

Terbetik rasa kasihan mendengar keluhan itu. Cemas seorang ayah. Selain memikirkan nasib keluarga yang harus disuap rezeki saban hari, dia juga terpaksa memikirkan nasib dirinya di hadapan Allah kelak. Siapa sangka, disebabkan anak, disebabkan isteri, langkah tersadung tatkala menyeberangi titian sirat. Nauzubillah.

Beruntung sebenarnya anak-anak memiliki ayah seperti ini. Cuma keuntungan itu mungkin tidak dapat dikongsi oleh si ayah kalau anak-anak tidak mahu mengerti. Cemas seorang ayah tidak dihargai. Dalam keadaan begini, walaupun diletakkan kesalahan kepada anak-anak yang tidak mahu mengerti atau ayah yang mungkin kurang bersungguh-sungguh 'memengertikan' anak-anak, sudahnya tetap si ayah jugalah yang terpaksa menjawab segala pertanyaan di hadapan Allah kelak.

Kerana itu, cemas seorang ayah memang patut selalu disuburkan di dalam hati. Mudah-mudahan ia menjadi pendorong untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab terhadap kelangsungan hidup tidak sekadar menyangkut persoalan makan dan pakai sahaja. Sekaligus merangkumi persoalan amal ibadat, pahala dan dosa yang akan diperhitungkan di akhirat kelak.

Beratnya beban tugas seorang ayah.


wassalam.

No comments: