Ada banyak kelebihan bagi orang yang hidup bersama Ilahi. Ini kerana dengan berbuat demikian mereka akan dilimpahi...
---> Rasa aman dan selamat dalam hati dan perasaan.
~Semata-mata kerana sedar sentiasa dilindungi oleh Tuhan pencipta alam semesta yang Maha Kuat lagi Gagah Perkasa. Tidak perlu lagi ada rasa takut, risau, cemas atau gelisah sebab dapat berlindung dengan perlindungan yang amat kukuh.
---> Rasa gembira dan terhibur dalam hati dan perasaan,
~Semata-mata kerana penghidupannya ditanggung sepenuhnya oleh Allah. Rezekinya dijamin Tuan empunya khazanah perbendaharaan yang tidak pernah susut kesempurnaan kekayaan-Nya. Kesusahan dan kedukaan di hatinya jika ada pun diketahui berada dalam perhatian Allah yang Maha Pemurah. Begitu juga hatinya senang kerana peluang untuk dirinya dikasihi Allah terbuka seluas-luasnya, walaupun orang lain turut dikasihi Allah. Had kasih sayang Allah tidak bertepi. Malah tidak berkurangan, walaupun telah direbut oleh hamba-hamba-Nya yang lain.
---> Rasa tenteram hati dengan khabar gembira ganjaran besar menanti.
~Semata-mata kerana hadiah dijamin dan dijanjikan oleh Allah. Tuhan yang sekali-kali tidak memungkiri janji. Mana hati tidak tenteram apabila ada keperluan terisi, kemudahan dibekali, dan kekurangan dicukupi. Lebih-lebih lagi sakit pening diubati dan segala pengorbanan diganti serta kesabaran menanggung kesusahan dihargai. Kesilapan ditutupi dan sedia diampuni, kebaikannya diambil kira untuk dibalas dengan nikmat berkali ganda.
---> Rasa cukup dan puas.
~Semata-mata kerana ketenangan diperolehi apabila menempuh jalan hidup yang selari dengan yang diimpikan fitrah kejadian. Fitrah manusia itu kosong, sentiasa merasa lapar dan dahaga. Ia hanya dapat dipuaskan dengan benar-benar mengenali Allah (maarifah kepada-Nya), beriman dan mengarahkan tujuan hidup kepada-Nya. Ketika itulah baru fitrah manusia terisi dan terlepas dari kelelahan, puas dari dahaga, kenyang dari rasa lapar dan aman dari ketakutan.
---> Rasa sungguh seronok dengan kehidupan.
~Semata-mata kerana hidup dilimpahi rahmat dan nikmat dari Allah. Lebih-lebih lagi terpilih dianugerahi kesempurnaan rahmat dan kasih sayang Allah yang diberikan dalam bentuk petunjuk di samping kesihatan pancaindera dan akal. Pedoman dan petunjuk itu berupa wahyu disampaikan kepada para Nabi dan Rasul untuk menunjuk manusai kepada jalan yang benar.
Dengan sebab-sebab sedemikian, maka kebahagiaan sebenar itu dikatakan bukan milik setiap insan. Tetapi ia adalah milik insan yang beriman, taat berbuat baik dalam kehidupan dunia yang sementara ini untuk dikecapi dalam kehidupan akhirat yang kekal abadi...
dititip pada 11.11 pm.
wassalam.
No comments:
Post a Comment