Sunday, May 2, 2010

Insan Pilihan...

Sesuatu yang terindah di alam ini tidak dapat dilihat dengan mata, disentuh dengan tangan dan dirasa dengan lidah. Keindahan yang luar biasa di dunia ini hanya dapat dirasai oleh kalbu yang suci.

Sekiranya kalbu seseorang itu ceria, maka cerialah seluruh anggotanya. Hadiah yang paling utama dan tiada bandingnya bagi seseorang adalah kegembiraan. Seringkali kita memberi hadiah itu dan ini tetapi apa juga yang diberi, antara tujuannya adalah untuk menggembirakan penerima dan kegembiraan hanya dapat dirasai di dalam kalbu seseorang. 

Antara keindahan yang luar biasa yang dapat dialami oleh kalbu seseorang insan adalah memasuki lautan iman kepada Allah S.W.T  . seseorang yang penuh iman, kalbunya akan dipenuhi dengan kecintaan yang luar biasa terhadap Allah. Hal ini dapat kita lihat dalam sebuah hadis qudsi Allah berfirman:

Ertinya;  Tiada termuat Aku oleh bumiKu dan langitKu dan termuat Aku oleh hati hambaKu yang beriman yang lemah lembut tenang dan tenteram.

(Imam Al -Ghazali, Ihya' Ulum al-Din, Kitab Sharah 'Ajaib al-Qalb. Mengikut Professor Syed Muhammad Naqib Al-attas hadis ini sering digunakan oleh ahli tasauf)

Seorang solleh bertanya kepada seorang shaikh, "Mana lebih utama, sifat murah hati atau sifat berani." Shaikh berkata, "Orang yang murah hati tidak perlu berani."

Seorang yang dekat dirinya kepada Allah tidak dapat dilihat dengan kumpulan kata-kata yang tertulis dengan dakwat tetapi dilihat dengan kata-kata yang putih jernih yang membawa ketenangan dalam kalbu seseorang insan. Kita mengenal seorang yang alim dengan pena dan kita mengenal seorang yang dekat dirinya kepada Allah dengan kesucian akhlak dan tingkah lakunya terhadap Khaliq dan makhlukNya. Semoga kita semua dimasukkan dalam golongan mereka yang sentiasa mendapat rahmatNya. 

Ameen...

No comments: