Sunday, May 2, 2010

Terkena...


CIS! Hatinya menyumpah. Peristiwa itu amat memalukan. Malah menjadi satu sejarah hitam dirinya setelah dipilih jadi pemimpin. Kalau boleh, biarlah peristiwa itu kali pertama dan kali terakhir berlaku ke atas dirinya.

Baju Melayu berwarna merah hati bertompok kehitaman di sana sini akibat keringat yang mengalir membasahi pada bahagian-bahagian tertentu anggota. Beberapa titik keringat jatuh ke lantai. Secara perlahan disapunya dengan sapu tangan warna kebiruan. Sapu tangan jadi lembab.

Ketika itu juga urat lehernya terasa tegang sakit. Mujur dia tidak punya penyakit darah tinggi. Kalau tidak, pasti dia akan tumbang. Pitam. Dan pasti peristiwa itu akan lebih heboh diperkatakan orang ramai.

     "Sila ke depan!"
    "Terima kasih."
   " Apa salahnya sekali sekala datang ke sini. Ambil berkat orang baru pula."
    "Terima kasih sajalah..."
    "Eh, janganlah begitu. Ini hajat jemaah!"

Tangannya lantas dipimpin oleh pak imam menuju sejadah tebal yang siap terbentang di hadapan. Mahu tak mahu dia terpaksa berdiri di atas sejadah itu dengan hati gugup. Sumpah! Sejak dia lahir ke dunia ini belum pernah mengimamkan sembahyang di masjid mana-mana pun. Inilah sejarah hidupnya!.

Namun, dia cuba melawan perasaan gugup dengan memujuk hatinya bahawa solat kali ini tiada bezanya dengan solat yang pernah dilakukannya setiap hari. Sama saja! Dia berjaya melawan perasaan...

Hatinya dapat ditenangkan. Dia bangga kerana dapat mengawal perasaan buat pertama kali menjadi imam kepada puluhan jemaah. Moga-moga selepas ini orang ramai tidak akan mengatakan dia hanya pandai bercakap hal-hal dunia saja. Malah berkebolehan juga dalam mempraktikkan amalan-amalan keagamaan. Boleh jadi imam...!

Semua jemaah tenang. Masing-masing hanya menunggu arahannya untuk memulakan solat maghrib. Dia pula sudah cukup bersedia, perasaan gugupnya telah dibuang jauh. Dia berjaya dalam segala-galanya. Dia sebenarnya punya kemampuan! "Allaaahuakbar!"

   "Allaaaahuakbar!" Kedengaran suara makmum hampir serentak.
Dia mula membaca doa iftitah. Perlahan, suara makmum di belakangnya juga turut perlahan. Kedengaran seperti orang berbisik-bisik. Hatinya ketika itu mula bertanya apa surah yang patut dibaca?

Surah pendek? Malu! Nanti dikatakan dia tidak punya banyak hafalan. Baca surah sederhana panjang? Tak ada kelainan dengan orang kebiasaan! Oh, elok baca surah panjang...Supaya makmum ada kejutan!

Dia pun memulakan bacaan suratul balad dengan suara yang lantang. Harap-harap ada makmum yang akan memuji kelantangan suaranya nanti. Biarlah pujian diberikan secara belakang-belakang. Itu lebih bermakna!

    "Subhanallah!" Satu suara dari arah belakang kedengaran jelas. Dia tidak hirau isyarat teguran itu. Mana pula salah bacaan aku? Soal hati kecilnya. Aku baca betul tajwidnya! Bisik hatinya bangga.

    "Subhanallaaaaah!"
Kedengaran sekali lagi. Nadanya lebih lanjut dari kali pertama."

Tiba-tiba hatinya begitu gugup mendengar tasbih yang dilafazkan. Kenapa pula aku ditegur? Salahkah ayat aku baca? Tiba-tiba keringatnya mengalir perlahan... Lututnya tanpa di arah mula menggigil. Suaranya terketar-ketar. Dia ketakutan dan cemas tanpa dapat dikawal lagi!

Dia cuba membaca surah lain. Tapi ditegur lagi...Ketika itu dia tidak dapat mengawal perasaan serba salah. Cemas secemas-cemasnya. Namun dia dapat merasakan semua makmum yang bersolat di belakangnya ketika itu mufaraqah beramai-ramai.

Yang anehnya, dia sendiri tidak sedar bila dia melakukan rukuk, sujud dan membaca tasyahud akhir. Tahu-tahu dia sudah mengucapkan salam!

    "Tadi, Yang Berhormat tak baca Fatihah. Sebab itu saya tegur." Pak imam secara berbisik dari belakangnya memberitahu kesalahan yang dilakukan. Para makmum kelihatan senyum bermakna....

    "Eh! Saya tak baca Fatihah ke?"
     "Betul!"
    "Habis, macam mana solat saya tadi?"
    "Tak sah. Kena ulang balik. Sebab tinggal rukun..."
Dia tunduk tersipu-sipu. Seingatnya, dia tidak pernah mendapat malu seperti itu. Walau di mana-mana. Malu kali ini mencemarkan maruah dan masa depannya jika dihebahkan kepada pengundi-pengundi....

    "Cis!"
    "Apa yang cisnya YB?" Sahut Jamal yang berada di sisinya. Sedang memandu Pajero baru yang dibeli awal bulan lalu.

    "Tak apa-apa..."
    "Marahkan habuk jalan tanah merah ini ke?"
    "Bukan...aku teringat peristiwa minggu lalu,"  jawabnya lemah.
    "Tak usah diingat-ingat lagi YB. Perkara itu sudah berlalu...Sekejap lagi sampailah kita ke rumah yang dihajati," ujar Jamal yang baru sahaja menyedarinya  wakil rakyat yang dibawanya sedang melayani perasaan sendirian sejak tadi.

    "Ke rumah siapa kita?"
    "Ke rumah Pak Kiyai Marlan..."
    "Pak Kiyai Marlan yang jadi Ketua Parti Cemerlang tu?"
    "Tentulah, siapa lagi! Kan YB hendakkan orang yang teralim sekali untuk mengajar YB bertahlil supaya lebih berkat..."
    "Tak ada orang lain lagi ke?"   
    "Mana ada lagi! Yang lain macam Lebai Samad, Pak Dolah dan Haji Sharipuddin. Semuanya taraf guru agama sekolah rendah saja!"
    "Cis!" Terkena lagi kali ini...bisik hatinya. Namun dia tidak berani membantah cadangan Jamal yang dianggapnya sahabat paling karib sebelum menjadi wakil rakyat. 

Pajero terhangguk-hangguk melewati jalan tanah merah yang tidak begitu rata. Jamal begitu cermat memandunya. Jamal tahu, pemimpin yang berada di belakangnya adalah wakil rakyat yang perlu disanjung dan dihormati oleh semua lapisan walaupun sebenarnya dia adalah rakan sekolahnya suatu ketika dulu.

Entah kenapa tiba-tiba dia merasakan dirinya terlalu daif. Lemah dan kurang ilmu agama. Dia baru sedar, di hujung kampung yang punya jalan tanah merah berdebu sepanjang keadaan, tinggal seorang ulama tulen yang berbakti kepada agama dan cuba memertabatkan Islam sebagai satu cara hidup.

    "Kita dah sampai, YB" ujar Jamal sambil melepaskan nafas kepenatan. Terasa lega. Serentak itu Pajero berhenti di halaman sebuah rumah papan sederhana besar. Di kelilingnya penuh dengan pepohon kelapa berusia lebih dua puluh tahun.

Sebentar kemudian muncul Pak Kiyai Marlan sambil melambai-lambai tangan. Menjemput naik ke rumah. Dia dapat melihat dengan jelas tubuh Pak Kiyai Marlan yang tinggi kurus. Berpakaian baju jubah putih dan berserban hijau. Berkaca mata. Dia turut merasa hairan, bagaimana kedatangannya seperti diketahui lebih awal.

    "Sebenarnya saya dah beritahu dua hari lepas pada Kiyai Marlan tentang hajat YB hendak belajar tahlil padanya."
    "Tak apa, tak apa...Itu lebih baik."

Bila pintu Pajero sebelah kiri terbuka, muncul seorang lelaki bertubuh sederhana berusia lingkungan tiga puluhan. Memakai pakaian baju melayu warna kekuningan dan kain pelikat corak kasar serta memakai songkok ketayap putih. Melangkah menemui Pak Kiyai Marlan yang siap menyambut ketibaannya di ambang pintu.

    "Cis!" bisik hatinya lagi. Tapi kali ini dia menyumpah syaitan yang berjaya memperdaya dirinya selama ini....


sekian.
2.27 am
2 may 2010.



*Dengarlah sesuatu dengan fikiran yang terbuka. Bukannya dengan mulut yang ternganga.